Monday, July 11, 2011

Asal Ayam Serama

Tiada catatan bertulis mengenai sejarah asal usul Ayam Serama ini.

Maklumat tidak rasmi (perbualan orang ramai) mengatakan ayam serama ini berasal dari Kelantan. Ayam Serama yang ada sekarang adalah hasil daripada kacukan baka itu dengan beberapa ekor burung eksotik seperti Burung Hutan, Bantam dan juga Merpati. Setelah banyak kacukan dilakukan, ayam serama yang asal pun dihasilkan.

Ayam-ayam serama baka asal ini sebaliknya masih belum ditemui di pusat penternakan ayam kami. Ia merupakan cikal bakal kepada baka yang ada sekarang. Ayam Serama yang ada pada hari ini terhasil daripada kacukan baka yang dilakukan secara teliti.

Oleh kerana tren sekarang yang menekankan 1Lebih kecil ukuran ayam, lebih baik', maka para penternak sedang memperbaiki baka yang sedia ada sama ada mengenai ukuran, karaktor, struktur kecantikan keseluruhan ayam tersebut.

Nilai komersil Ayam Serama

Ayam Serama yang ada pada hari ini adalah hasil kacukan dari pelbagai spesis terutama burung seperti burung hutan, ayam kerdil Thai dan juga Bantan. Kecantikan fizikal ayam ini telah menawan pelbagai lapisan masyarakat. Selain menghiburkan hati pemiliknya, ia juga sangat mudah dan murah untuk dipelihara.

Sering dikatakan bahawa ayam serama ini tidak dapat dinilai dengan wang. Ada sebuah kisah yang menceritakan bahawa terdapat seorang penggemar yang menolak tawaran untuk menjual ayam miliknya itu dengan cek kosong. Namun, tawaran tersebut ditolak. Anak ayam dari baka juara boleh dijual pada harga RM1,000 hingga RM2,000 seekor manakala anak ayam yang agak dewasa di antara RM2,000 hingga RM10,000.

Harga pasaran bagi ayam bergelar juara pula berkisar antara RM10,000 hingga RM80,000. Bagaimanapun, tidak ada harga yang tetap dalam urusan jual beli. Semuanya bergantung kepada rundingan antara pembeli dan pemilik ayam tersebut.

Ayam ini juga dapat menjadi binatang peliharaan kesayangan seluruh ahli keluarga.

Kategori umur bagi ayam serama yang sihat ialah seperti berikut:

Grade 3A beratnya dibawah 250gm
Grade 1A beratnya dibawah 350gm
Grade B beratnya dibawah 500gm

Diharapkan anda tidak keliru dengan baka ayam kecil yang lain seperti Ayam Kapan, Ayam Katik dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, harga ayam ini berkait rapat dengan kategori beratnya. Ini kerana lebih kecil ayam tersebut, maka lebih sukar untuk melakukan proses kacukannya. Disamping itu, bilangannya juga sedikit. Berdasarkan faktor-faktor itulah yang menyebabkan harganya menjadi mahal.

Kami menjangkakan dengan peredaran masa dan penggunaan hasil penyelidikan dan pengembangan (R & D) terhadap kacukan ayam serta sokongan pihak korporat dan Kerajaan, maka masa depan ayam serama akan menjadi lebih menarik dan cerah.

Kami juga berharap agar ayam yang memiliki keindahan yang mengkagunkan ini dapat dihasilkan dengan lebih banyak dan murah agar ia mampu dimiliki oleh semua orang. Potensi sebagai haiwan peliharaan keluarga di negara ini juga semakin cerah.

No comments:

Post a Comment